[1] Sesungguhnya awal penciptaan manusia bermula dengan pandangan pasis dan prasangka Para Malaikat terhadap masa depan manusia. Barangkali tanggapan itu muncul dengan bertitik tolak daripada asal kejadian manusia itu, yakni daripada tanah, atau kekhuatiran mereka terhadap Amanah Besar(Taklifan) yang bakal dipikulkan oleh manusia yang digelar sebagai Khalifah di Muka Bumi. Lantaran itulah Para Malaikat bertanya kepada Allah s.w.t:
“Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMU dan mensucikanMU?, Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” ”
(Al-Baqarah: 30)
[2] Selari dengan Amanah(Taklif) itulah manusia terlebih dahulu disediakan oleh Allah dengan pelbagai kemudahan dan panduan. Kemudahan yang dapat di ambil manfaatnya demi maslahah yang lebih besar. Sebagaimana penciptaan pelbagai teknologi hasil daripada kajian dan Tadabbur mengenai fungsi alam di sekeliling itu sendiri dengan kemampuan akal. Manakala Panduan pula adalah Wahyu sebagai asas dan tuntunan dalam mengurus hidup dan mentadbir alam melalui pengutusan Para Rasulnya. Bertitik tolak daripada itulah bermulanya perjuangan panjang manusia di muka bumi ini.
[3] Sebagai realiti, Dakwah hari ini hendaklah memainkan peranannya yang asal, yakni dengan menterjemahkan “Kalimah Toyyibah”(Kalimah Tauhid) ke dalam lapangan dan skop yang lebih menyeluruh. Sebagaimana penyeruan manusia kearah pembinaan diri, pembangunan masyarakat dan negara yang ditegakkan di atas teras kefahaman islam yang sebenar. Maka usaha menghindarkan segala pengaruh negatif dan menyampaikan Produk Islam tercapai matlamatnya.
[4] Apa yang pasti, Amanah Umat Islam ini tidak lengkap dan pincang sekiranya kita mengabaikan aspek Sistem Perhubungan yang telah dicanangkan oleh Islam yang begitu sistematik sifatnya. Oleh itu, kita hendaklah memastikan perhubungan ini melibatkan interaksi antara manusia dengan Allah dan manusia dengan manusia. Akibat daripada pengabaian Sistem Perhubungan tersebut bakal mengundang kecelakaan, kegagalan dan krisis berterusan terhadap ketamadunan manusia yang di akhirnya membawa kepada kebinasaan yang hakiki.
[5] Sebagai konklusi, kemampuan Umat Islam dalam memperkayakan diri dengan kualiti Iman, Ibadah, Ilmu, Kemahiran dan Akhlak yang tinggi adalah penentu kejayaan dalam menyempurnakan Misi yang telah di taklifatkan. Berasaskan dengan ini, Umat Islam adalah menjadi asset utama dan terpenting dalam menentukan jatuh dan bangunnya sesebuah tamadun.
WAN ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)
0 comments:
Post a Comment