Followers

Sunday, April 3, 2011

KESUKARELAWAN MAHASISWA: MENGANTARABANGSAKAN MINDA MAHASISWA MELALUI PROJEK KEMANUSIAAN (BAHAGIAN 1)


[1]          Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling tolong menolong kearah kebaikan demi maslahah bersama. Demikian dengan itu, akan mengukuhkan dua jenis interaksi; Interaksi antara manusia dan Tuhan serta interaksi antara manusia dan manusia. Natijahnya akan terbinalah sebuah kehidupan yang harmoni, sejahtera dan dalam Redhanya. Firman Allah s.w.t:
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksanya”
(Al-Maidah: 2)


[2]          Memperkasakan kerjasama antara badan-badan mahasiswa dengan NGO berkaitan isu antarabangsa:
 Umum mengetahui bahawa NGO (badan bukan kerajaan) merupakan badan  yang memperjuangkan misi kemanusiaan melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawan. Sehubungan dengan itu, keterlibatan sama badan-badan mahasiswa bersama NGO merupakan titik tolak utama dalam menerobos minda ketidakcaknaan mahasiswa terhadap isu-isu kemanusiaan di peringkat global. Oleh itu, perlu ada kolaberasi yang serius dan tersusun dalam merealisasikan matlamat ini.
                
[3]          Pertama, melibatkan wakil-wakil mahasiswa secara langsung sebagai sebahagian daripada sukarelawan ke kawasan-kawasan bencana. Kedua, menganjurkan program-program yang berbentuk intelektual seperti Konvensyen, Kongres dan Seminar dengan mengkoordinasikan mahasiswa sebagai tenaga kerja manusia utama dan NGO sebagai platform.


[4]          Implikasi daripada itu, mahasiswa akan didedahkan dengan “Real Problem” secara langsung sebagai respon terhadap penglibatan sebagai sukarelawan. Justeru, kita dapat melihat tiga impak positif hasil penglibatan mahasiswa. Pertama, mahasiswa memperoleh kefahaman, pengalaman dan aplikasi dalam  proses menangani isu-isu tersebut secara praktikal. Kedua, NGO mempunyai dokongan yang berbentuk tenaga kerja manusia yang ramai dan berkualiti. Ketiga, mangsa-mangsa bencana memperolehi faedah yang berbentuk komprehensif dengan melihat kepada kepakaran dan kemahiran mahasiswa dalam kepelbagaian bidang.

               
[5]          Dalam senario lain pula, dengan penganjuran program-program berbentuk intelektual. Maka, mahasiswa akan didedahkan dengan realiti isu-isu di peringkat global secara ilmiah dan berfakta daripada pelbagai perspektif.  Hal ini kerana sebarang tindakan atau resolusi adalah bermula daripada kesedaran dan kefahaman secara fundamental dan menyeluruh serta daripada sumber yang asli.


WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)





Friday, April 1, 2011

KHUTBAH JUMAAT: PEMBIMBING UMMAH, PENYATU UMMAH



[1]          Persoalan akan halatuju kehidupan, memanfaatkan umur usia serta peranan sebagai hamba dan khalifah menghiasi dada-dada laman sesawang  dan status facebook. Ia bertitik tolak sebagai tindakan responsif kepada “Khutbah Jumaat” yang menyuntik Roh Kesedaran di kalangan komuniti UIAM-The Garden Knowledge and Virtue. Masakan tidak, Content dan Context tersebut amat jelas, padat serta mampu membangkitkan hati-hati para jemaah. Empat persoalan teras yang dikongsikan bersama Hadirin Jumaat yang perlu di muhasabah sekaligus mahu dan mampu untuk betindak.



[2]          Apakah tujuan sebenar kamu diciptakan?.

Persoalan yang pertama yang diajukan berkait rapat dengan agenda dan manifestasi penciptaan Makhluk yang bernama manusia. Hakikat penciptaan manusia telah dijelaskan Allah melalui perutusan RasulNYA. Sebagaimana FirmanNYA:


Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
(Adz-Dzariyat : 56)

Maka, “Solatku, Amal Perbuatanku, Hidupku dan Matiku hanyalah untukMU” menjadi Jawapan Fundamental kepada persoalan yang menuntut peranan dan tujuan penciptaan manusia.


[3]          Dengan siapakah kamu berkawan?.

Kita adalah siapa dan bagaimana sahabat yang berdampingan dengan kita. Justeru, kita sering di ingatkan supaya berhati-hati dalam bersahabat. Kerana sahabat itu adalah mereka yang turut mampu mempengaruhi dan mencorak hidup kita. Sebagaimana dua hadis Rasulullah yang mengingatkan kita akan peri pentingnya etika dalam bersahabat:

“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan kamu berikan makan kecuali kepada orang yang bertaqwa”

(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi)


“ Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya”. Sabda Baginda lagi: “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya”.

(Hadis Riwayat at-Tarmizi & Abu Daud)



[4]          Banggakah kamu dengan Islam?

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepadaNYA; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan berAGAMA ISLAM

(Ali Imran: 102)

Namun begitu, menjadi syarat sebagai Muslim untuk mengambil Manhaj, Hukum dan Panduan Hidup berteraskan Islam secara menyeluruh. Kerana disana pasti ada Maslahah yang menolak Mafsadah yang berteraskan Maqasid Syariah. Bangganya kita dengan Islam kerana Allah sebagai persandaran yang paling utuh dan Ia adalah Agama Yang Sempurna.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata bagimu”

(Al-Baqarah: 208)



[5]          Apakah kamu bersedia menghadap Tuhanmu?.

Persoalan terakhir daripada Khatib berkisarkan tentang kehidupan selepas kematian. Di mana bermulanya Alam Akhirat bertitik tolak daripada bagaimanakah bentuk pengakhiran kehidupan di Alam Dunia. Firman Allah s.w.t menjadi penegasan dan renungan buat mereka yang masih meragui dan alpa akan hakikat ini:

“ Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main(saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami”

(al-Mukminun: 115)



 [6]         Manusia akan meraih kesempurnaan dirinya melalui Jalan Taqwa. Dan di dalam Taqwa itu sendiri terkandung Sifat kesempurnaan Ibadah. Dan kesempunaan ini akan mampu dicapai bila mana kematian menjemputnya.  Dengan kata lain, dunia ini adalah tempat untuk kita bercucuk tanam dan akhirat pula tempat kita menuai hasilnya. Makanya, persoalan bagimana kita Mengurus Nyawa bakal dijawab dengan bagaimana kita memanfaatkan hidup dan kehidupan serta sejauh mana kita memaknakan kehidupan.

Wassalam.




WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)









Thursday, March 31, 2011

AMANAH UMAT ISLAM


[1]          Sesungguhnya awal penciptaan  manusia bermula dengan pandangan pasis dan prasangka Para Malaikat terhadap masa depan manusia. Barangkali tanggapan itu muncul dengan bertitik tolak daripada asal kejadian manusia itu, yakni daripada tanah, atau kekhuatiran mereka terhadap Amanah Besar(Taklifan) yang bakal dipikulkan oleh manusia yang digelar sebagai Khalifah di Muka Bumi. Lantaran itulah Para Malaikat bertanya kepada Allah s.w.t:
“Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMU dan mensucikanMU?, Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” ”
(Al-Baqarah: 30)

[2]          Selari dengan Amanah(Taklif) itulah manusia terlebih dahulu disediakan oleh Allah dengan pelbagai kemudahan dan panduan. Kemudahan yang dapat di ambil manfaatnya demi maslahah yang lebih besar. Sebagaimana penciptaan pelbagai teknologi hasil daripada kajian dan Tadabbur mengenai fungsi alam di sekeliling itu sendiri dengan kemampuan akal. Manakala Panduan pula adalah Wahyu sebagai asas dan tuntunan dalam mengurus hidup dan mentadbir alam melalui pengutusan Para Rasulnya. Bertitik tolak daripada itulah bermulanya perjuangan panjang manusia di muka bumi ini.

[3]          Sebagai realiti, Dakwah hari ini hendaklah memainkan peranannya yang asal, yakni dengan menterjemahkan “Kalimah Toyyibah”(Kalimah Tauhid) ke dalam lapangan dan skop yang lebih menyeluruh. Sebagaimana penyeruan manusia kearah pembinaan diri, pembangunan masyarakat dan negara yang ditegakkan di atas teras kefahaman islam yang sebenar. Maka usaha menghindarkan segala pengaruh negatif dan menyampaikan Produk Islam tercapai matlamatnya.

[4]          Apa yang pasti, Amanah Umat Islam ini tidak lengkap dan pincang sekiranya kita mengabaikan aspek Sistem Perhubungan yang telah dicanangkan oleh Islam yang begitu sistematik sifatnya. Oleh itu, kita hendaklah memastikan perhubungan ini melibatkan interaksi antara manusia dengan Allah dan manusia dengan manusia. Akibat daripada pengabaian Sistem Perhubungan tersebut bakal mengundang kecelakaan, kegagalan dan krisis berterusan terhadap ketamadunan manusia yang di akhirnya membawa kepada kebinasaan yang hakiki.

[5]          Sebagai konklusi, kemampuan Umat Islam dalam memperkayakan diri dengan kualiti Iman, Ibadah, Ilmu, Kemahiran dan Akhlak yang tinggi adalah penentu kejayaan dalam menyempurnakan Misi yang telah di taklifatkan.  Berasaskan dengan ini, Umat Islam adalah menjadi asset utama dan terpenting dalam menentukan jatuh dan bangunnya sesebuah tamadun.



WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)


 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons