[1] Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling tolong menolong kearah kebaikan demi maslahah bersama. Demikian dengan itu, akan mengukuhkan dua jenis interaksi; Interaksi antara manusia dan Tuhan serta interaksi antara manusia dan manusia. Natijahnya akan terbinalah sebuah kehidupan yang harmoni, sejahtera dan dalam Redhanya. Firman Allah s.w.t:
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksanya”
(Al-Maidah: 2)
[2] Memperkasakan kerjasama antara badan-badan mahasiswa dengan NGO berkaitan isu antarabangsa:
Umum mengetahui bahawa NGO (badan bukan kerajaan) merupakan badan yang memperjuangkan misi kemanusiaan melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawan. Sehubungan dengan itu, keterlibatan sama badan-badan mahasiswa bersama NGO merupakan titik tolak utama dalam menerobos minda ketidakcaknaan mahasiswa terhadap isu-isu kemanusiaan di peringkat global. Oleh itu, perlu ada kolaberasi yang serius dan tersusun dalam merealisasikan matlamat ini.
[3] Pertama, melibatkan wakil-wakil mahasiswa secara langsung sebagai sebahagian daripada sukarelawan ke kawasan-kawasan bencana. Kedua, menganjurkan program-program yang berbentuk intelektual seperti Konvensyen, Kongres dan Seminar dengan mengkoordinasikan mahasiswa sebagai tenaga kerja manusia utama dan NGO sebagai platform.
[4] Implikasi daripada itu, mahasiswa akan didedahkan dengan “Real Problem” secara langsung sebagai respon terhadap penglibatan sebagai sukarelawan. Justeru, kita dapat melihat tiga impak positif hasil penglibatan mahasiswa. Pertama, mahasiswa memperoleh kefahaman, pengalaman dan aplikasi dalam proses menangani isu-isu tersebut secara praktikal. Kedua, NGO mempunyai dokongan yang berbentuk tenaga kerja manusia yang ramai dan berkualiti. Ketiga, mangsa-mangsa bencana memperolehi faedah yang berbentuk komprehensif dengan melihat kepada kepakaran dan kemahiran mahasiswa dalam kepelbagaian bidang.
[5] Dalam senario lain pula, dengan penganjuran program-program berbentuk intelektual. Maka, mahasiswa akan didedahkan dengan realiti isu-isu di peringkat global secara ilmiah dan berfakta daripada pelbagai perspektif. Hal ini kerana sebarang tindakan atau resolusi adalah bermula daripada kesedaran dan kefahaman secara fundamental dan menyeluruh serta daripada sumber yang asli.
WAN ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)
0 comments:
Post a Comment