Followers

Saturday, June 25, 2011

PENGAJARAN DI SEBALIK PERISTIWA ISRA’ DAN MIKRAJ



[1]          Sedar atau pun tidak, kita kini sudah berada di penghujung bulan Rejab. Bulan yang padanya telah berlaku suatu peristiwa penting  dalam sejarah umat Islam, yakni  Isra’ dan Mikraj. Peristiwa ini berlaku  pada tahun ke-11 selepas kenabian Rasulullah SAW. Peristiwa ini merupakan bukti kukuh tentang keagungan dan kebesaran  Allah SWT, dalam memperjalankan hambaNYA (Rasulullah SAW) dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa Baitul Maqdis di Palestin. Seterusnya, Rasulullah SAW telah di angkat ke langit untuk menghadap Allah SWT pada malam yang amat bersejarah itu. Sebagaimana Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hambaNYA(Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang KAMI berkati disekelilingnya, untuk memperlihatkan tanda-tanda(kekuasaan dan kebesaran) KAMI. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui”
(al-Isra’: 1)



[2]          Sesungguhnya peristiwa tersebut telah memberikan implikasi yang besar kepada keimanan dan keyakinan Umat Islam, terhadap kebenaran kenabian Nabi Muhammad SAW, melalui bukti Mukjizat akan Kekuasaan Allah SWT. Kesan daripada itu, berlaku penafian dan tempelakan daripada kalangan umat Islam yang masih nipis Imannya dan lebih-lebih lagi mereka yang masih dikabuti Samar jahiliyyah. Namun begitu, mereka yang utuh akan keimanannya, tetap mempercayai tentang kebenaran yang dituturkan melalui lidah suci Rasulullah SAW. Sebagaimana yang dilakukan oleh Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq, yakni orang yang pertama yang membenarkan peristiwa tersebut, sehingga beliau digelar sebagai “as-Siddiq” yang bermaksud “Orang Yang Benar”.



[3]          Serangan Jahiliyyah Moden kini semakin menggila, sehingga amukan gejala sosial dan keruntuhan akhlak dalam pelbagai bentuk di Negara ini, menyebabkan kita sering hilang arah pedoman untuk mengatasinya. Saya yakin dan percaya bahawa sekiranya Umat Islam mampu meneladani akan peristiwa kebenaran Isra’ Mikraj, InsyaAllah kita mampu mengatasi  segala kebejatan sosial dan kemungkaran berlaku di sekeliling kita.  Sesungguhnya, peristiwa Isra’ dan Mikraj merupakan satu ujian dalam proses pemisahan antara mereka yang benar-benar beriman kepada Allah dan RasulNYA dengan mereka yang masih rapuh Imannya serta mereka masih berada dalam gelapnya kekufuran.



[4]          Demi memperingati peristiwa Isra’ dan Mikraj ini, marilah sama-sama kita saling  mengingatkan agar kita melaksanakan segala tuntutan dan suruhanNYA, serta meninggalkan segala laranganNYA. Bagi mereka yang bergelut dalam kancah kemaksiatan, maka sedar dan insaflah serta kembalilah kepada jalan yang benar. Bertaubatlah dengan sebenar-benar taubat, mudah-mudahan cara hidup yang mendatang akan di naungi oleh Redha Allah SWT.



[5]          Akhirul kalam, marilah sama-sama kita mahu dan mampu merenung Firman Allah SWT dalam Surah al-Israk ayat 60, yang bermaksud:

“Dan Tiadalah KAMI menjadikan (pada malam Mikraj) yang telah KAMI perlihatkan kepadamu melainkan sebagai suatu ujian bagi manusia; dan(demikian juga kami jadikan) pokok yang yang di laknat di dalam al-Quran; dan KAMI beri mereka takut(dengan berbagai-bagai amaran) maka semua itu tidak menambahkan keimanan mereka melainkan dengan kekufuran yang melampau-lampau”



WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)

Wednesday, June 22, 2011

TUNTUTAN AMAR MA’RUF NAHI MUNGKAR AMANAH BERSAMA



[1]          Sebagai Muslim, kehidupan kita adalah berlandaskan Syariat yang telah ditetapkan oleh Allah berasaskan kepada Akidah, Syariah dan Akhlak. Namun ada di kalangan kita yang lalai dalam melaksanakan perintah Allah S.W.T. Justeru, Allah mengutuskan Rasul dengan tujuan memperingatkan manusia agar mentauhidkan Allah dan melaksanakan segala titah perintahNYA.



[2]          Kini, tugas para rasul terdahulu menjadi tanggungjawab kita bersama sebagai Muslim dalam melaksanakan Amar Ma’ruf Nahi Munkar. Amanah ini meliputi semua individu dalam meletakkan manusia di atas Paksi Kebenaran. Sebagaimana Firman Allah S.W.T menerusi Surah at-Taubah Ayat 71 yang bermaksud:

“Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain; mereka menyuruh berbuat Kebaikan, dan melarang daripada berbuat kejahatan; dan mereka mendirikan sembahyang dan memberi zakat, serta taat kepada Allah dan RasulNYA. Mereka akan diberi Rahmat oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”


[3]          Amar Ma’ruf Nahi Mungkar hendaklah dilaksanakan oleh semua peringkat masyarakat. Melakanakan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar hendaklah mengikut keutamaan iaitu dengan Kuasa, Ucapan, Nasihat dan Peringatan. Atau sekurang-kurangnya setiap muslim perlu membenci kemungkaran di dalam hatinya. Sebagai mana sabda rasullullah S.A.W yang bermaksud:

“Barangsiapa yang melihat kemungkaran, maka hendaklah ia mengubah dengan tangannya. Jika tidak mampu, hendaklah ia mengubah dengan lisannya. Jika tidak mampu, hendaklah ia mengubah dengan hatinya. Yang demikian itu adalah selemah-lemah Iman”


[4]          Kita lupa bahawa sikap tidak peduli ini dan kegagalan melaksanakan tuntutan Amar Ma’ruf Nahi Mungkar sebenarnya mengundang bencana dalam hidup kita dan menjemput kemurkaan Allah Yang Maha Keras SeksaanNYA. Marilah kita renungi dan mengambil iktibar akibat dan bencana yang berlaku pada Umat manusia yang meninggalkan tuntutan ini. Antaranya:

PERTAMA: LAKNAT ALLAH DAN KEMURKAANNYA. Al-Maidah ayat 78-79:

“Orang-orang Kafir dari Bani Israel telah dilaknat melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Maryam. Demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu melampaui batas. Mereka antara satu sama lain tidak pernah mencegah tindakan mungkar yang mereka lakukan. Sesungguhnya amatlah buruk apa yang mereka telah lakukan”

KEDUA: TIDAK MENDAPAT PENGIKTIRAFAN SEBAGAI MUSLIM SEBENAR.

Dalam sebuah hadis daripada Ibnu Abbas R.A bahawa rasulullah S.A.W bersabda:

“Bukanlah daripada kalangan kami sesiapa yang tidak mengasihi kanak-kanak dan menghormati orang tua dan tidak pula menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran” (Riwayat at-Tarmizi)


KETIGA: BERLAKU MALAPETAKA DAN DOA TIDAK LAGI DIPERKENANKAN.

Hakikat ini disebut dalam sebuah hadis daripada Huzaifah bin al-Yamanbahwa Rasullah S.A.W bersabda:

“Demi jiwaku ditanganNYA, hendaklah kamu terus menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran atau jika tidak dibimbangi Allah akan mengutuskan satu azab ke atas kamu kerananya. Kemudian jika kamu berdoa kepadaNYA, tidak pula akan diperkenankan doamu itu
(Riwayat at-Tarmizi)


[5] Justeru, Students’ Representative Council (SRC) IIUM, Kuliyyah Based Society (KBS) dan Dakwah Based Society (DBS) mengajak seluruh Komuniti UIAM meliputi seluruh Mahasiswa, pihak pentadbiran, para pensyarah, staf-staf, dan pihak keselamatan UIA agar turut sama-sama turun ke lapangan demi “Mengekalkan Biah Solehah Bumi UIAM” yang selari dengan salah satu tonggak Misi UIAM iaitu “Islamization”.






WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons