Followers

Tuesday, April 5, 2011

TINGKATKAN PRESTASI, KURANGKAN KONTROVERSI


[1]          Allah Telah berfirman yang bermaksud:
                “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang Fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan”
 (Al-Hujurat: 6)


[2]          Ayat ini diwahyukan oleh Allah secara tegas dan jelas kepada orang-orang yang beriman, agar mereka berhati-hati ketika hadirnya orang fasik yang menyampaikan berita kepadanya. Justeru, menjadi peranan dan tanggungjawab kita untuk memeriksa dan menganalisisnya. Dengan mengambil kira aspek penyampai berita, konteks dan kandungan berita tersebut, agar ia berasaskan sumber yang jelas dan sahih. Dengan kata lain, sama sekali tidak menelannya tanpa usul periksa dan menyebarkannya tanpa nilai etika dan profesional.


[3]          Umum mengetahui bahawa media merupakan platform yang penting dalam berperanan sebagai penyebaran maklumat kepada massa. Namun realitinya, peranan yang seharusnya di mainkan oleh mereka kini jauh terpesong daripada matlamat yang asal. Akibatnya, Isu Kontroversi yang mengabaikan sama sekali nilai professional dan etika menjadi fokus utama berbanding dengan Isu pembinaan moral dan pemantapan kesatuan komuniti. Oleh itu, pemerkasaan nilai etika dan profesional media dalam berperanan dan berfungsi mampu melahirkan masyarakat yang bermoral, berintelek dan harmoni.


[4]          Senario lain pula, akibat kecuaian dan kegopohan  kita dalam menceduk berita tanpa menganalisisnya mengakibatkan fitnah mejadi melata. Lebih parah lagi bila mana kita lah menjadi sumber fitnah dan agen pemecah belah perpaduan ummah dalam sedar atau sebaliknya. Adakah penyesalan di saat akhir menjadi solusi terbaik  lantaran keterlanjuran kita?. Maka sebelum terlambat, saya menyeru kepada semua agar kita tahu, mahu dan mampu untuk merenung sabda Rasulullah s.a.w:
“Pembuktian itu berasal daripada Allah, sedangkan ketergesa-gesaan itu berasal daripada syaitan”
(Dikeluarkan oleh At-Thabari)


[5]          “Janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak ketahui. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggungjawabannya”
(Al-Isra’: 36)
Rentetan daripada itu, menjadi tanggungjawab kita bersama-sama berperanan dan bertindak sebagai agen penyatuan dan jentera kebenaran dengan mengambil kira posisi dan kapasiti diri serta kondisi dan realiti semasa. Dengan memanfaatkan segala medium elektronik(blog, FB, Twitter..) dan platform berautoriti sebagai agen penyebar ‘Content’ dan ‘Context’ yang memberikan impak manfaat dan maslahah kepada semua. Dalam masa yang sama menjauhi sama sekali daripada segala bentuk kenyataan, sebaran maklumat dan berita yang berunsurkan fitnah meruntuh, kontroversi menghancur dan mudharat berterusan. Wassalam.
 
“Tingkatkan Prestasi, Kurangkan Kontroversi” 



WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)

Sunday, April 3, 2011

KESUKARELAWAN MAHASISWA: MENGANTARABANGSAKAN MINDA MAHASISWA MELALUI PROJEK KEMANUSIAAN (BAHAGIAN 1)


[1]          Islam amat menggalakkan kita supaya hidup saling tolong menolong kearah kebaikan demi maslahah bersama. Demikian dengan itu, akan mengukuhkan dua jenis interaksi; Interaksi antara manusia dan Tuhan serta interaksi antara manusia dan manusia. Natijahnya akan terbinalah sebuah kehidupan yang harmoni, sejahtera dan dalam Redhanya. Firman Allah s.w.t:
“Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertaqwa dan janganlah kamu tolong-menolong pada melakukan dosa dan maksiat dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat Azab Seksanya”
(Al-Maidah: 2)


[2]          Memperkasakan kerjasama antara badan-badan mahasiswa dengan NGO berkaitan isu antarabangsa:
 Umum mengetahui bahawa NGO (badan bukan kerajaan) merupakan badan  yang memperjuangkan misi kemanusiaan melalui aktiviti-aktiviti kesukarelawan. Sehubungan dengan itu, keterlibatan sama badan-badan mahasiswa bersama NGO merupakan titik tolak utama dalam menerobos minda ketidakcaknaan mahasiswa terhadap isu-isu kemanusiaan di peringkat global. Oleh itu, perlu ada kolaberasi yang serius dan tersusun dalam merealisasikan matlamat ini.
                
[3]          Pertama, melibatkan wakil-wakil mahasiswa secara langsung sebagai sebahagian daripada sukarelawan ke kawasan-kawasan bencana. Kedua, menganjurkan program-program yang berbentuk intelektual seperti Konvensyen, Kongres dan Seminar dengan mengkoordinasikan mahasiswa sebagai tenaga kerja manusia utama dan NGO sebagai platform.


[4]          Implikasi daripada itu, mahasiswa akan didedahkan dengan “Real Problem” secara langsung sebagai respon terhadap penglibatan sebagai sukarelawan. Justeru, kita dapat melihat tiga impak positif hasil penglibatan mahasiswa. Pertama, mahasiswa memperoleh kefahaman, pengalaman dan aplikasi dalam  proses menangani isu-isu tersebut secara praktikal. Kedua, NGO mempunyai dokongan yang berbentuk tenaga kerja manusia yang ramai dan berkualiti. Ketiga, mangsa-mangsa bencana memperolehi faedah yang berbentuk komprehensif dengan melihat kepada kepakaran dan kemahiran mahasiswa dalam kepelbagaian bidang.

               
[5]          Dalam senario lain pula, dengan penganjuran program-program berbentuk intelektual. Maka, mahasiswa akan didedahkan dengan realiti isu-isu di peringkat global secara ilmiah dan berfakta daripada pelbagai perspektif.  Hal ini kerana sebarang tindakan atau resolusi adalah bermula daripada kesedaran dan kefahaman secara fundamental dan menyeluruh serta daripada sumber yang asli.


WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)





Friday, April 1, 2011

KHUTBAH JUMAAT: PEMBIMBING UMMAH, PENYATU UMMAH



[1]          Persoalan akan halatuju kehidupan, memanfaatkan umur usia serta peranan sebagai hamba dan khalifah menghiasi dada-dada laman sesawang  dan status facebook. Ia bertitik tolak sebagai tindakan responsif kepada “Khutbah Jumaat” yang menyuntik Roh Kesedaran di kalangan komuniti UIAM-The Garden Knowledge and Virtue. Masakan tidak, Content dan Context tersebut amat jelas, padat serta mampu membangkitkan hati-hati para jemaah. Empat persoalan teras yang dikongsikan bersama Hadirin Jumaat yang perlu di muhasabah sekaligus mahu dan mampu untuk betindak.



[2]          Apakah tujuan sebenar kamu diciptakan?.

Persoalan yang pertama yang diajukan berkait rapat dengan agenda dan manifestasi penciptaan Makhluk yang bernama manusia. Hakikat penciptaan manusia telah dijelaskan Allah melalui perutusan RasulNYA. Sebagaimana FirmanNYA:


Dan aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka mengabdi kepada-Ku.”
(Adz-Dzariyat : 56)

Maka, “Solatku, Amal Perbuatanku, Hidupku dan Matiku hanyalah untukMU” menjadi Jawapan Fundamental kepada persoalan yang menuntut peranan dan tujuan penciptaan manusia.


[3]          Dengan siapakah kamu berkawan?.

Kita adalah siapa dan bagaimana sahabat yang berdampingan dengan kita. Justeru, kita sering di ingatkan supaya berhati-hati dalam bersahabat. Kerana sahabat itu adalah mereka yang turut mampu mempengaruhi dan mencorak hidup kita. Sebagaimana dua hadis Rasulullah yang mengingatkan kita akan peri pentingnya etika dalam bersahabat:

“Jangan kamu bersahabat melainkan dengan orang yang beriman dan jangan kamu berikan makan kecuali kepada orang yang bertaqwa”

(Hadis Riwayat Abu Daud dan at-Tarmizi)


“ Jauhilah kawan yang buruk (akhlak dan perangainya), kamu akan dikenali sepertinya”. Sabda Baginda lagi: “Seseorang itu berada atas cara hidup kawannya, maka perhatikanlah tiap seorang daripada kamu, siapakah yang didampinginya”.

(Hadis Riwayat at-Tarmizi & Abu Daud)



[4]          Banggakah kamu dengan Islam?

“Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah sebenar-benar taqwa kepadaNYA; dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan berAGAMA ISLAM

(Ali Imran: 102)

Namun begitu, menjadi syarat sebagai Muslim untuk mengambil Manhaj, Hukum dan Panduan Hidup berteraskan Islam secara menyeluruh. Kerana disana pasti ada Maslahah yang menolak Mafsadah yang berteraskan Maqasid Syariah. Bangganya kita dengan Islam kerana Allah sebagai persandaran yang paling utuh dan Ia adalah Agama Yang Sempurna.

“Hai orang-orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam keseluruhan, dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh kamu yang nyata bagimu”

(Al-Baqarah: 208)



[5]          Apakah kamu bersedia menghadap Tuhanmu?.

Persoalan terakhir daripada Khatib berkisarkan tentang kehidupan selepas kematian. Di mana bermulanya Alam Akhirat bertitik tolak daripada bagaimanakah bentuk pengakhiran kehidupan di Alam Dunia. Firman Allah s.w.t menjadi penegasan dan renungan buat mereka yang masih meragui dan alpa akan hakikat ini:

“ Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main(saja), dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada kami”

(al-Mukminun: 115)



 [6]         Manusia akan meraih kesempurnaan dirinya melalui Jalan Taqwa. Dan di dalam Taqwa itu sendiri terkandung Sifat kesempurnaan Ibadah. Dan kesempunaan ini akan mampu dicapai bila mana kematian menjemputnya.  Dengan kata lain, dunia ini adalah tempat untuk kita bercucuk tanam dan akhirat pula tempat kita menuai hasilnya. Makanya, persoalan bagimana kita Mengurus Nyawa bakal dijawab dengan bagaimana kita memanfaatkan hidup dan kehidupan serta sejauh mana kita memaknakan kehidupan.

Wassalam.




WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)









 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons