Followers

Thursday, March 31, 2011

AMANAH UMAT ISLAM


[1]          Sesungguhnya awal penciptaan  manusia bermula dengan pandangan pasis dan prasangka Para Malaikat terhadap masa depan manusia. Barangkali tanggapan itu muncul dengan bertitik tolak daripada asal kejadian manusia itu, yakni daripada tanah, atau kekhuatiran mereka terhadap Amanah Besar(Taklifan) yang bakal dipikulkan oleh manusia yang digelar sebagai Khalifah di Muka Bumi. Lantaran itulah Para Malaikat bertanya kepada Allah s.w.t:
“Adakah Engkau (Ya Tuhan Kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMU dan mensucikanMU?, Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya” ”
(Al-Baqarah: 30)

[2]          Selari dengan Amanah(Taklif) itulah manusia terlebih dahulu disediakan oleh Allah dengan pelbagai kemudahan dan panduan. Kemudahan yang dapat di ambil manfaatnya demi maslahah yang lebih besar. Sebagaimana penciptaan pelbagai teknologi hasil daripada kajian dan Tadabbur mengenai fungsi alam di sekeliling itu sendiri dengan kemampuan akal. Manakala Panduan pula adalah Wahyu sebagai asas dan tuntunan dalam mengurus hidup dan mentadbir alam melalui pengutusan Para Rasulnya. Bertitik tolak daripada itulah bermulanya perjuangan panjang manusia di muka bumi ini.

[3]          Sebagai realiti, Dakwah hari ini hendaklah memainkan peranannya yang asal, yakni dengan menterjemahkan “Kalimah Toyyibah”(Kalimah Tauhid) ke dalam lapangan dan skop yang lebih menyeluruh. Sebagaimana penyeruan manusia kearah pembinaan diri, pembangunan masyarakat dan negara yang ditegakkan di atas teras kefahaman islam yang sebenar. Maka usaha menghindarkan segala pengaruh negatif dan menyampaikan Produk Islam tercapai matlamatnya.

[4]          Apa yang pasti, Amanah Umat Islam ini tidak lengkap dan pincang sekiranya kita mengabaikan aspek Sistem Perhubungan yang telah dicanangkan oleh Islam yang begitu sistematik sifatnya. Oleh itu, kita hendaklah memastikan perhubungan ini melibatkan interaksi antara manusia dengan Allah dan manusia dengan manusia. Akibat daripada pengabaian Sistem Perhubungan tersebut bakal mengundang kecelakaan, kegagalan dan krisis berterusan terhadap ketamadunan manusia yang di akhirnya membawa kepada kebinasaan yang hakiki.

[5]          Sebagai konklusi, kemampuan Umat Islam dalam memperkayakan diri dengan kualiti Iman, Ibadah, Ilmu, Kemahiran dan Akhlak yang tinggi adalah penentu kejayaan dalam menyempurnakan Misi yang telah di taklifatkan.  Berasaskan dengan ini, Umat Islam adalah menjadi asset utama dan terpenting dalam menentukan jatuh dan bangunnya sesebuah tamadun.



WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)


Tuesday, March 29, 2011

ULAMA’ DAN UMARA’

[1]          Sabda Rasulullah saw;
“Ada dua golongan manusia, jika baik kedua-duanya, maka baiklah manusia. Apabila kedua-duanya rosak maka rosaklah manusia (dua golongan yang dimaksudkan) iaitulah Ulama’ dan Umara’- Ulama’ ialah orang yang berilmu dan Umara’ ialah pemimpin-pemimpin.”
 (Hadith diriwayatkan oleh Abu Nu’aim)


[2]          Mengimbau sejarah kegemilangan Khulafa’ ar-Rasyidin menunjukkan kita betapa peri pentingnya peranan Ulama’ dalam memandu pemimpin, memacu kepimpinan dan membimbing yang dipimpin. Buktinya, dalam pemerintahan Khulafa’ ar-Rasyidin, kita dapat menyaksikan bahawa betapa ruang bagi “Check And Balance” ini telah dibuka seluas-seluasnya sejak di awal pemerintahan Umar al-Khatab. Beliau sedar betapa pentingnya peranan Ulama’ untuk turut serta dalam pembentukan polisi dan dasar pemerintahan agar ia selari dengan Perlembagaan Islam yang tertinggi yakni Al-Quran dan As-Sunnah Rasulullah saw.


[3]          Oleh yang demikian, Ulama’ tidak seharusnya dilihat sebagai Golongan yang berwajahkan bidang-bidang agama semata-mata. Bahkan harus menjangkaui ke bidang-bidang lain selaras dengan dengan Islam sebagai “The Way of Life”. Justeru, Ulama’ bukan sahaja golongan yang memutuskan Hukum Halal dan Haram dalam sesuatu perkara dan masalah sahaja. Tetapi sebagai penggubal polisi dan dasar, pemantau prinsip dan pelaksanaan dengan memastikan natijahnya memenuhi tuntutan dan kehendak Aqidah, Syariah dan Akhlak.


[4]          Pemimpin haruslah mampu untuk mengurus tadbir serta memakmurkan muka bumi ini secara bijaksana dan professional berpandukan perintah Allah. Dengan memahami konsep “God-Centered” sebagai dasar pemerintahan maka sudah pasti ia akan mendorong pemikiran dan tindakan pemimpin untuk memimpin diri, rakyat dan Negara agar sentiasa dalam “Guideline SyariatNYA” .


[5]          Sebagai pemimpin seharusnya memiliki sifat Amanah iaitu pemimpin yang jujur dan  bertanggungjawab dengan Amanah Kepimpinanya. Kedua, dengan memiliki sifat Tabligh yakni kemampuan untuk responsif dalam berkomunikasi , menyampaikan yang Hak dan menyeru kepada kebenaran. Ketiga adalah Fathonah iaitu seorang yang memiliki daya Kreatif dan Kritis dalam berfikir dan bertindak yang impaknya dapat memberikan Maslahah secara holistic(menyeluruh).


 [6]         Sungguh indah apabila Ulama’ dan Umara’ sama-sama tunduk dan patuh kepada Allah. Sama-sama memahami tentang amanah dan peranan masing-masing. Saling melengkapi dalam memerintah dengan meletakkan Kalimah Thoyyibah di kemuncaknya. Dengan “Baldatun Thayyibah Wa Rabbul Ghafur” sebagai model pemerintah.

WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)

Monday, March 14, 2011

HIKMAH DISEBALIK MUSIBAH


[1]          Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Katakanlah: ‘Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami,dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal’”
(At-Taubah: 51)

[2]          Pada ayat ini Allah swt memerintahkan kepada Rasullullah saw agar menjawab tentangan orang-orang munafiq yang senang di kala beliau dan sahabat-sahabatnya ditimpa kesulitan dan bencana serta meraka(orang-orang munafiq) merasa sesak dada di kala beliau dan sahabat-sahabatnya memperoleh nikmat dengan ucapan;
“Apa yang menimpa diri kami dan apa yang kami peroleh dan kami alami adalah hal-hal yang telah diatur dan  ditetapkan oleh Allah swt, yaitu hal-hal yang tercatat di Lohmahfuz sesuai dengan Sunnah-NYA yang berlaku pada hamba-NYA, baik kenikmatan kemenangan mahupun bencana kekalahan…”



[3]          Tetapkanlah keyakinan dalam hati bahawa setiap musibah itu pasti ada Hikmahnya. Saya menyeru kepada teman-teman sekalian agar jangan lagi kita tergantung pada “Sebab-sebab” yang menjadikan musibah itu. Akan tetapi melihat pada sudut Musabbil Asbab(penyebab kepada segala sebab)”, yakni Allah. Kenapa? Kerana selagi hati kita terfokus kepada sebab-sebab, maka selagi itulah kita akan menyalahkan diri-sendiri, atau menyalahkan orang lain, atau menyalahkan kondisi yang menyebabkan musibah itu sendiri. Dan ketika itulah Syaitan akan akan mencelah dengan hasutan dan godaan ayat-ayat putus asa dan kecewa seumpama, “Jika” atau “seandainya”.
                Orang yang beriman akan menilai semua yang berlaku sama ada pada dirinya mahupun alam ini sebagai suatu yang positif. Bahkan mereka sedar semua itu Allah datangkan sebagai jalan untuk mendidik hamba-hambaNYA sekaligus menyelamatkan mereka daripada Azab Api Neraka.

[4]          Ucapkanlah kalimah “Istirja’ ”, dan merenungi maknanya dan menjiwainya ke dalam jiwa. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepadaNYA lah kita akan dikembalikan. Kita hanyalah peminjam dan bukannya pemilik. Allah telah memerintahkan kita mengucapkan Kalimah Sabar tatkala ditimpa musibah melalui FirmanNYA;
“Dan sesungguhnya Kami berikan cubaan kepadamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan. Dan berilah berita gembira kepada orang yang sabar, yakni orang yang apabila ditimpa musibah mereka mengucapkan ‘Innanillah wa inna ilaihi rajiun’
(Al-Baqarah: 155-156)

 

[5]          Menjadi menjadi kewajipan sebagai yang bergelar Muslim untuk meyakini bahawa;
“Apabila Allah menguji orang Islam dengan tragedi, maka mereka mesti melihat dengan mata hati, dan memikirkan dengan akal, agar tercungkil hikmahnya. Jika tidak, itu petanda penglihatan hati tidak jauh, akal pula dangkal” 

WAN  ZULKARNAIN BIN WAN ISMAIL
CHAIRPERSON OF INFORMATION & MULTIMEDIA
STUDENTS' REPRESENTATIVE COUNCIL(SRC) 2010/2011
INTERNATIONAL ISLAMIC UNIVERSITY MALAYSIA(IIUM)








 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons